Selasa, 25 Februari 2014

Browse Manual » Wiring » » » » » » » » Pelajar M’sia Cemerlang Di World Scholar’s Cup

Pelajar M’sia Cemerlang Di World Scholar’s Cup


NEW YORK – Pelajar Malaysia mungkin tidak memenangi hadiah pertama tetapi tetap cemerlang dalam beberapa kategori pada pertandingan akademik World Scholar’s Cup Tournament of Champions yang berlangsung di Universiti Yale, New Haven di Connecticut pada Ahad malam.

Acara tiga hari bermula Jumaat lepas, disertai 23 pelajar Malaysia berusia 13 hingga 16 tahun, dari empat sekolah, bersaing dengan 500 pelajar dari 20 negara dari seluruh dunia di pusingan akhir.

Sekolah yang mengambil bahagian pada asalnya ialah Kolej Yayasan Saad, MRSM Alor Gajah, MRSM Kuantan dan Permata Pintar tetapi Permata Pintar tidak hadir.

Pelajar dari China muncul pemenang bagi kebanyakan kategori yang dipertandingkan yang dibahagikan kepada kategori junior dan senior. Empat kategori dipertandingkan iaitu Scholar’s Challenge; Team Debate; Collaborative Writing; dan Scholar’s Bowl.

Dalam kategori junior, pasukan MRSM Alor Gajah dianggotai Ellesya Myra Faredz, Mohd Redza dan Arisya Umaira Azaiddin memperoleh tempat kelima bagi pertandingan bahas, tempat ke-10 keseluruhan dan tempat ke-20 bagi pertandingan bahas individu.

Sementara itu, pelajar Kolej Yayasan Saad (KYS) iaitu Muhammad Zaris Zakariah dan Syafawani Abdul Rahim memenangi tempat ke-10 bagi pertandingan penulisan Collaborative Writing.

Bagi kategori senior, pasukan KYS terdiri daripada Amir Fariq Anuar, Aniq Aznan dan Nurul Hanisah Abd Manaf memenangi tempat ke-4 dalam cabaran Scholar’s Bowl.

Aniq turut memenangi tempat ke-5 bagi Collaborative Writing manakala Nur Fatihah Athira Muhamad memenangi tempat ke-5 bagi kategori Individual Challenge.

Selain itu, satu lagi pasukan KYS terdiri daripada Tunku Norhabibah Tunku Ahmad Akhyar, Tasnim Md Zabar Noor dan Nur Sarah Shuhaizan memenangi tempat ke-20 bagi juara pasukan keseluruhan.

Pujian turut diberikan kepada pelajar MRSM Kuantan dan Garden International School.

Konsul Jeneral Malaysia, Syed Bakri Syed Abdul Rahman dijemput untuk menyampaikan anugerah kepada 10 pasukan terbaik pertandingan.

World Scholar’s Cup (WSC) merupakan pertandingan akademik antarabangsa dengan pelajar dari lebih 40 negara mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Pertandingan itu diasaskan oleh Daniel Berdichevsky, Presiden DemiDec (alumni Harvard, Yale dan Stanford) pada 2006.

WSC turut fokus kepada usaha menghimpunkan pelajar daripada kebudayaan berbeza untuk membincangkan pelbagai isu dan idea yang relevan pada masa kini dan masa depan.

Ketika diminta mengulas mengenai WSC dan penyertaan pelajar Malaysia buat julung kalinya, Tunku Norhabibah dari pasukan KYS, berkata: “Sungguh mengagumkan, dan saya tidak tahu apa itu ‘alpaca’ sebelum ini dan Daniel ialah seorang yang genius dan saya amat menyukai acara ini!”

Sabrina Aini Shahnaz juga dari KYS berkata: “WSC memberi banyak pengetahuan dan telah memperluas daya intelektual kami. Kami bertemu pelajar dari negara-negara lain dan belajar bagaimana cara mereka berbahas dan segera memasukkan strategi baik dalam perbahasan kami”.

Tasnim pula berkata: “Saya berpendapat subjek yang kami perlu belajar dan pelajari bukan perkara biasa yang dipelajari di sekolah biasa di Malaysia, dan sentiasa ada perkara lain untuk dibaca dan menjadikan kami lebih berpengetahuan”.

Tema tahun ini “The world in motion”, menguji pelajar dalam pelbagai subjek seperti sains pengangkutan, kesusasteraan, sejarah ‘Great Migrations’ dan isu semasa global.

Sementara itu, Ezani Amir, seorang daripada ibu bapa yang hadir pada pertandingan itu berkata: “WSC merupakan pelengkap kepada sekolah kerana ia membantu membangunkan kemahiran kepimpinan, pemikiran kreatif dan kritis, semangat berpasukan dan merupakan platform untuk pelajar membina jaringan antarabangsa di peringkat usia muda.” – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar